Monday, February 2, 2009

Changeling: Kisah Ketabahan Seorang Ibu


Salam semua, untuk ulasan kali ini, saya ingin mencuba sesuatu yang lain dari yang lain. Format kali ini saya "plagiat" dari sebuah blog dan agak menarik untuk dicuba. Formatnya lebih kepada Q&A. Saya tanya, sayalah yang menjawabnya. 

Q: Filem ini berkisar.....
A: Filem ini berkisar pada lewat 20' an di Los Angeles di mana menceritakan kisah seorang ibu tunggal (lakonan Angelina Jolie) yang berkecamuk emosi dan perasaan bila mana anak lelaki tunggalnya yang berusia 8 tahun telah diculik ketika tinggal berseorangan dirumah. Tetapi, keadaan menjadi lebih rumit dan pelik bila pihak polis cuba menyatukan si ibu dengan seorang budak lelaki yang dipercayainya bukan anaknya. 

Q: Pelakon-pelakon filem ini adalah...
A: Pendukung utama filem ini terdiri daripada Angelina Jolie, John Malkovich, Amy Ryan, Jeffrey Donovan, Colm Foere, Michaeal Kelly, Jason Butler Harner, Gattlin Griffith

Q: Adakah filem ini "worth the price of admission"?
A: Ya, filem yang wajib ditonton di pawagam (filem ini dijadualkan ditayangkan pada bulan Februari di pawagam seluruh Malaysia). Changeling merupakan adaptasi dari kisah sebenar yang berlaku sebelum ini. Pada keseluruhannya, filem ini menggambarkan kisah sedih seorang ibu bersama-sama kisah-kisah korupsi yang menjengkelkan yang berlaku dalam sejarah LAPD di sekitar akhir 20'an dan awal 30'an. Cerita ini berpaksikan kepada ketabahan seorang wanita menghadapi segala cabaran dan dugaan ketika mencari anaknya yang hilang, dan seterusnya membuka segala pekung yang bernanah di dalam sebuah badan kepolisan Los Angeles.

Q: Adakah filem ini mampu membuat saya tertawa?
A: Dibabak-babak awal filem ini, hubungan si ibu dan anaknya boleh membuatkan kita tersenyum.

Q: Adakah filem ini mampu membuatkan saya menangis?
A: Ya, saya hampir mengalirkan air mata bila mana polis menyoal siasat seorang anak lelaki yang turut sama hilang dan mampu memboloskan diri dari penjenayah itu. (Anda perlu melihat sendiri filem ini untuk mengetahui babak yang saya maksudkan ini)

Q: Adakah filem ini berpotensi untuk meraut sebarang anugerah?
A: Setakat ini, Angelina Jolis telah menerima nominasi untuk beberapa anugerah berprestij tahun ini seperti Anugerah Golden Globe, SAG Awards, dan yang terbaru Anugerah Oscar bagi "Best Performance in an Actress in a Leading Role". Selain itu, filem ini turut dicalonkan dalam kategori "Best Achievement in Art Direction" dan "Best Achievement in Cinematography" bagi Anugerah Oscar tahun ini.  

Q: Bagaimana dengan tahap lakonan?
A: Pada awalnya, saya kurang meminati Angelina Jolie kerana sejak beliau memenangi Oscar bagi filem Girl Interrupted, tahap lakonannya agak menurun dan kurang memberangsangkan. Tetapi, Angelina Jolie sekali lagi membuktikan yang beliau merupakan pelakon yang serba boleh. Melalui lakonannya di dalam filem ini, kita dapat merasai kehilangan yang beliau rasakan, kesedihan dan kita seolah-olah bersama-sama untuk bangkit menentang korupsi di dalam LAPD. Selain beliau, pelakon-pelakon lain seperti John Malkovich dan Jeffrey Donovan turut memberi hasil lakonan yang memberangsangkan. Pelakon kanak-kanak antara yang mampu untuk pergi lebih jauh jika diasah lakonan mereka. 

Q: Bagaimana dengan tahap pengarahan (Directing)?
A: Filem ini begitu cantik. Ketelitian sutradara Clint Eastwood dalam menggambarkan bandar Los Angeles pada zaman lewat 20'an haruslah diberi pujian, Kita dapat lihat dimana setiap kereta, keretapi, bangunan, lampu jalan, baju kot, fesyen wanita, topi termasuk juga "roller-skate" digambarkan dengan penuh teliti dan cantik, tepat menggambarkan zaman lewat 20'an di City of Angels. Sesiapa yang pernah tinggal di bandar ini pasti akan terpegun melihat transformasi ini. Kadang-kadang saya terfikir, bilakah industri perfileman di Malaysia mampu membawa bandaraya Kuala Lumpur kepada transformasi sebegini. 

Q: Bagaimana dengan tahap penulisan skrip dan lakon layar?
A: Secara keseluruhannya, filem ini diceritakan secara "straightforward" di mana penonton dapat menguyah dan menghadam inti pati filem ini dengan mudah dan senang. Tetapi, jangan terperanjat sekiranya mata anda tidak berganjak dari skrin kerana filem ini bergerak pantas dan menanam rasa ingin tahu akan kesudahan filem ini. J. Micheal Straczynski penulis skrip bagi filem ini tidak hanya memfokus kepada tragedi pada masa lepas, tetapi beliau juga menggunakan element kemanusiaan sebagain tema utama bagi filem ini. Filem ini mampu memberi inspirasi kepada kita untuk terus berusaha agar mencapai apa yang diimpikan di dalam hidup dan yang paling penting untuk senantiasa menaruh harapan. 


2 comments:

noor hafiz said...

ya Allah, banyaknya sawang. labah2 merata2. mesti tuan dia ni pengotor. suka duduk dalam sawang!

HafizChan said...

hapdet woi